السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, June 18, 2009

Tinta bermula...

Segala puji bagi Allah swt serta memohon selawat dan salam ke atas rasulnya yang mulia dan ke atas sahabat-sahabatnya dan umatnya yang mempertahankan perjuangan agama yang benar.

Kini, kita sedang berada di akhir zaman. Suatu zaman yang sangat-sangat dikhuatiri oleh Rasulullah saw terhadap umatnya di mana berlaku fitnah memfitnah hingga menjadi kekeliruan awam, mana-mana yang berupa sunnah nabi dipandang hitam, dituduh songsang, gila, sesat. Manakala mereka yang cuba menghidupkan sunnah baginda Rasulullah saw terus dihina dan dikeji.

Sebaliknya mereka berasa gembira hidup dalam suasana yang berupa Yahudi, Nasrani dan Majusi dan berusaha pula menyesuaikan ajaran agama dengan zaman hingga terjadi agama mengikut zaman, bukan zaman mengikut agama, sedang pemikiran-pemikiran mereka disanjung dan diamalkan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Zaman ini adalah zaman banjir (bah) yang bukan sahaja banjirnya air malah berjuta-juta kali lebih dahsyat daripada itu iaitu banjir fitnah, banjir Iktikad (pegangan), pemikiran dan amalan (maksiat), derhaka kepada Allah dan Rasul. Jumlah penderhaka lebih ramai daripada jumlah yang taat!

Maka, satu persoalan penting yang patut ditanya pada diri kita, apakah yang kita lakukan? berdiam diri? berpeluk tubuh? Andainya itu yang dipilih, maka kita telah sama dengan pilihan kebanyakan manusia lain yang tidak sayangkan agamanya. Berfikirlah secara lateral wahai umat Islam.

Oleh yang demikian, amatlah penting kita bangkit menyeru (dakwah) umat Islam kembali kepada ajaran agama Allah yang sebenar dan mengikuti Sunnah Rasulullah saw. Bangun tegap berdiri menjalankan amar maaruf dan nahi mungkar. Perlu kita sedari, bahawa setiap ilmu, tenaga, harta, masa dan lain-lain nikmat Allah yang kita perolehi akan disoal pada hari kiamat tentang bagaimana kita menyalurkannya. Lantas, menyeru (dakwah) manusia ke jalan Allah membantu menyiapkan diri kita dengan semua jawapan bagi soalan-soalan tersebut dan sekaligus menyelamatkan kita daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang diimpi-impikan oleh semua manusia. Firman Allah swt:

10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?

11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.

(as-Shaaf: 10-12)


Dengan demikian melalui penulisan kecil ini, diharap dapat memberi serba sedikit kefahaman tentang dakwah dan menerapkan mahbub (kecintaan) terhadap agama yang kita sayangi ini sekaligus mendorong kita menjalankan usaha dakwah tanpa mengira masa dan tempat dengan penuh hangat dan ikhlas kerana Allah. Mudah-mudahan Allah akan memberi manfaat kepada kita bersama bila diamalkan. InsyaAllah.




No comments:

Post a Comment