السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, June 18, 2009

Manusia, Agama dan Dakwah

Andai dapat kita membayangkan di saat ini kita sedang berada di atas kapal yang serba kukuh dan canggih belayar di samudera luas. Kita mengagumi kehebatan kapal yang dinaiki dan yakin tidak ada yang dapat menggugatnya dari terus membelah lautan. Namun, pabila angin kencang dan badai datang menggugah dan merosakkan kapal, anak-anak kapal tempik bertempiaran mencari jalan menyelamatkan diri. Tinggallah diri kita keseorangan terus bergelut dengan maut di tengah lautan luas. Di waktu malam yang hening sunyi. Tiada harapan lagi untuk diselamatkan sesiapa pun.

Di saat genting inilah fitrah semula jadi dari hati nurani seorang manusia mula terbit dan menyerlah iaitu di saat memohon secara spontan dan meyakini bahawa adanya satu Zat yang Maha Agung dan Maha Berkuasa yang dapat menolongnya. Manusia mengharapkan diri diselamatkan-Nya. Inilah buktinya, manusia berhajat dan memerlukan tuhan. Fitrah manusia adalah ingin bertuhan. Kepada tuhanlah mereka memohon segala hajat dan keperluan samada yang zahir mahupun yang batin.

Sesiapa yang menghendaki yang sebaliknya, ia telah memilih membelakangi fitrah semula jadi tanpa mereka sedari. Bahkan telah wujud satu agama iaitu agama Ateis yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan percaya manusia tidak memerlukan agama. Bahkan manusia dan seluruh alam ini terjadi dengan sendirinya melalui proses-proses tertentu. Namun, pada masa yang sama mereka telah mewujudkan agama. Alangkah jengkelnya agama ciptaan akal manusia. Akal manusia yang terhad tidak dapat memikirkan tentang perkara-perkara yang di luar hadnya seperti perkara-perkara Sam’iyyat (yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia seperti dosa pahala, syurga neraka, mizan (timbangan) dan sebagainya). Oleh yang demikian, Allah telah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menyampaikan perkhabaran, peringatan dan berita gembira daripada Allah swt.

Perkhabaran ini sebenarnya adalah nikmat Allah swt kepada hamba-hambanya. Supaya manusia mengetahui, memahami dan menghayati segala perintah dan larangan-Nya kerana Dia akan membalas segala perbuatan yang dilakukan manusia. Andainya Allah swt tidak member perkhabaran ini pasti manusia akan mempertikaikannya pada hari kiamat kelak. Nah, Allah swt telah menyatakan dengan jelas segala perintah dan larangan-Nya. Manusia itu sendiri yang akan menanggung akibat bagi segala perbuatannya di dunia dahulu samada baik mahupun sebaliknya.

ƒ

7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(az-Zalzalah:7-8)

Agama Islam adalah satu-satunya agama yang datang daripada Allah yang menjadi panduan dan pedoman sebenar hidup manusia. Dialah yang menciptakan manusia. Dan hanya Dialah yang maha mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk kepada makhluk ciptaannya. Hanya Dialah yang layak mencipta perlembagaan dan undang-undang yang perlu diikuti manusia untuk mencapai kesejahteraan dan keselamatan mereka di dunia dan akhirat. Maha Suci Allah.

Tujuan penciptaan manusia

Pernahkah kita terlintas ataupun terfikir apa tujuan, sebab, matlamat, tugas dan peranan sebenar kita wujud di atas dunia ini? Tidaklah Allah swt menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Hatta satu titik hitam yang ada di atas sekeping kertas pun turut mempunyai tujuan, sebab, matlamat, tugas dan peranannya. Bagaimanakah pula halnya dengan kita, manusia yang lengkap dengan tubuh badan, tenaga, akal fikiran tinggal di atas bumi yang mempunyai pelbagai kemudahan dan kelengkapan untuk kegunaan manusia ini? Apakah kita tidak punya tujuan diciptakan? Jelas tidak logik dan diterima oleh akal yang waras.

Jelaslah manusia mempunyai tujuan, matlamat, tugas dan peranan masing-masing di atas dunia ini. Namun, manusia masih keliru tentang tugas mereka di dunia ini. Mereka tercari-tercari dan keliru akan tujuan hidup mereka. Sehingga ada di antara mereka membunuh diri kerana beranggapan hidup mereka tiada tujuan dan memilih jalan membunuh diri bagi menyelesaikan segala masalah mereka di dunia. Malang. Mereka tidak mengetahui apa peranan mereka dan seterusnya apakah yang akan berlaku terhadap mereka selepas mereka meninggalkan dunia ini.

Namun, kita sebagai seorang Muslim, sangat bertuah kerana kita telah diterangkan dengan jelas oleh Allah swt akan tujuan, matlamat, tugas dan peranan kita di atas muka bumi ini iaitu beribadat kepada Allah swt.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az-Zaariyat:56)


Skop ibadat yang difahami umat Islam kini terlalu khusus dan kecil, hanya menumpukan kepada solat, zakat, puasa, haji, membaca al-Quran sahaja. Sebenarnya, skop ibadat adalah sangat luas merangkumi segala bentuk perbuatan dan tingkah laku manusia. Oleh yang demikian, pemahaman sebenar bagi konsep ibadah perlulah dipelajari, difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap orang Muslim dengan penuh yakin untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah swt.

Yakinlah, setiap pekerjaan yang dilakukan semasa di dunia akan dihisab dan diberi balasan yang setimpal dengan apa yang telah diusahakan ketika di dunia dahulu. Firman Allah:


7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (az-Zalzalah: 7-8)

Persoalannya, apakah perancangan dan strategi yang perlu dilaksanakan bagi menyediakan diri kita untuk menghadapi hari Pengadilan di Padang Mahsyar kelak? Di dalam risalah kecil ini cuba membuka minda kita untuk sama-sama menyiapkan diri kita untuk berjihad di jalan Allah swt mengikut kemampuan individu Muslim. Di antaranya ialah dakwah (menyeru dan mengajak manusia kembali mengingati dan mengesakan Allah swt dan menjalankan syariat-Nya) dan menjalankan amar makruf dan nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) sebagaimana yang telah dilakukan oleh kesemua para nabi dan rasul, para sahabat dan para ulama’. Marilah kita sama-sama menyambung tugas dakwah ini sekaligus menegakkan syiar Islamiah dan mengikuti sunnah Rasulullah saw yang dikasihi. Semoga Allah menambahkan iman dan hidayah-Nya kepada hamba-hambanya yang ikhlas menegakkan syariat Islam.

Ingat, Syaitan sentiasa disisi kita untuk melalaikan dan menjauhkan diri kita dari melaksanakan perintah Allah!

No comments:

Post a Comment