السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Tuesday, March 30, 2010

Program Persediaan Menuju Husnul Khotimah Di IPSAH...

Persediaan Menuju Husnul Khotimah adalah sebuah program yang berunsurkan kesedaran tentang peri pentingnya persediaan untuk menghadapi saat yang pasti tiba iaitu saat kematian. Saat yang memisahkan seseorang individu dari kehidupan dunia. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Anbiya’ ayat 35:

”Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”

Realiti permasalahan umat Islam pada hari ini semakin meruncing adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Terdapat pelbagai faktor-faktornya seperti faktor persekitaran, cara hidup, pegangan agama, pemikiran dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian pelbagai program telah dijalankan bagi meneroka permasalahan dan mencari jalan keluar bagi mengurangkan permasalahan umat Islam pada hari ini.

Antara faktor terpenting ialah faktor akidah yang kurang mantap di kalangan umat Islam sendiri terhadap perkara-perkara ghaib yang telah dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis seperti alam barzakh dan hari akhirat yang pasti akan tiba. Oleh yang demikian program ini amat penting untuk dijalankan bagi membina kesedaran dan kefahaman guru pelatih secara mendalam tentang hakikat alam barzakh yang bakal dilalui oleh setiap insan secara praktikal dan ianya sekaligus sebagai salah satu pendekatan dakwah untuk meningkatkan akidah individu muslim.

Pihak JAPIM dan BADAS mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini bagi menerapkan semangat ingin tahu di kalangan guru pelatih untuk mempelajari, menghayati dan menginsafi perihal berkaitan persediaan kematian. Inilah antara Modal Insan yang cuba dibina oleh institusi perguruan supaya melahirkan para guru yang menjadi agen pengembang, membina wasilah bangsa yang beriman lagi bertaqwa dan mempunyai motivasi intrinsik dan mentaliti kendiri yang positif. Program ini diharapkan mendapat perhatian dari semua pihak untuk membantu dari segi pembiayaan dan kelancaran tentatifnya.

Semoga Allah SWT memberikan perlindungan dengan Rahmat dan kasih Sayang-Nya di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment