السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Friday, June 19, 2009

Cara-cara menutup AURAT yang dituntut oleh Islam



Yakin dan amalkanlah cara hidup yg telah ditentukan Allah swt yg Maha Mengetahui apa yg terbaik kepada makhluk2-Nya.

Thursday, June 18, 2009

Dakwah

FIQH DAKWAH : SATU PEMAHAMAN


MUQADDIMAH


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

( Surah Yusuf ayat 108 )



Medan dakwah merupakan satu lapangan yang luas selari dengan objek dakwah yang dibawa oleh para rasul iaitu agama Islam. Justeru itu para duat selaku juru dakwah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dalam rangka menyalur dan menyampaikan risalah dakwah dengan lebih terarah dan terencana. Oleh itu pemahaman yang mendalam dan mendasar mengenai “Fiqh Dakwah” adalah perlu agar penyebarluasan risalah ini mencapai tahap yang maksimum.


1. PEMAHAMAN FIQH DAKWAH

Fiqh dakwah merupakan cantuman dua rangkaikata iaitu Fiqh dan Dakwah. Setiap kalimah mempunyai maknanya tersendiri.

FIQH : Mengetahui (tahu) dan memahami (faham).
DAKWAH : Seruan kepada sesuatu iaitu galakkan melakukan sesuatu.

Dakwah ilallah : Seruan kepada beriman kepada Allah Taala dan beriman dengan apa yang dibawa oleh para rasul dengan membenarkan segala perkhabaran yang dibawa, patuh dan tunduk dengan segala titah perintah Allah Taala dan meninggalkan segala larangannya, justeru agama Islam merupakan agama penamat, syumul dan lengkap.
Ini bermakna dakwah ilallah ialah seruan untuk tunduk dan patuh kepada agama Islam secara keseluruhannya (total). Meyakini Islam adalah agama yang benar, yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang diwahyukan oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya :

(Surah Fussilat : 43)

Maksudnya : Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan dan belakangnya, yang diturunkan dari Allah yang maha bijaksana lagi maha terpuji.



2. KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN DAKWAH

Sesungguhnya kewajipan menyampaikan dakwah Islamiah merupakan satu tuntutan secara syar’ie. Kewajipan ini tertanggung di atas bahu umat Islam tidak mengira tua atau muda, lelaku mahupun perempuan, kecil atau besar, samada pemerintah atau rakyat jelata secara khususiah atau umum. Tuntutan ini mesti direalisasikan mengikut kadar keupayaan diri, berdasarkan kemampuan tenaga dan darjah kemantapan iman serta rasa sensitiviti terhadap realiti umat Islam di samping iklim persekitaran masyarakat yang dilingkunginya.
Ini jelas berdasarkan firman Allah di dalam Surah At Taubah ayat 71.



Islam juga menjelaskan kaedah penyebarluasan dakwah ini adalah merangkumi semua golongan muslimin.

( Surah Ali Imran : 110 )

Di dalam ayat di atas para ulama’ menjelaskan ibarat adalah merangkumi seluruh umat muslimin tidak mengira jenis keturunan, bahasa, budaya, warna kulit dan bangsa. Kesemuanya adalah sama menerima tuntutan tersebut.
Tidak syak lagi di sana terdapay banyak nas dari Al Quran dan As Sunah yang menjelaskan kewajipan menyampaikan risalah dakwah Islamiah secara qat’ie (dalil qat’ie).
Nas Al Quran :

(Surah Ali Imran : 104)

Di dalam ayat di atas pada kalimah adalah iaitu menunjukkan kata perintah dan perintah untuk melakukan sesuatu menurut kaedah usul adalah suatu yang wajib dilakukan. Ibarat di dalam ayat yang dimaksudkan daripadanya adalah sekelompok atau segolongan daripada ulamak dan du’at yang bertugas untuk menyeru amar ma’ruf dan mencegah amal mungkar dan menjaga pandangan umum di setiap rantau dan ceruk mujtamak Islam sekalipun kewajipan tersebut pada asalnya tertumpu kepada setiap individu daripada umat Islam mengikut kadar kemampuan, persediaan dan momentum iman.
Ibnu Katsir di dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan perlunya satu kelompok di kalangan umat Islam memikul tugas mencegah kemungkaran dan menyeru kepada ma’ruf sekalipun tugas tersebut terbeban kepada setiap individu muslim, setiap daripada mereka melaksanakan tugas tersebut mengikut keupayaan mereka

Di dalam hadis rasul, apakah yang dimaksudkan dengan dan juga ibarat Bukankah ia bermakna setiap individu yang berintima’ dengan jemaah muslimin mesti memberi janji setia dan patuh taat kepada ketua/amir? Anggota mesti mendengar dan patuh kepada setiap arahan di dalam keadaan senang ataupun susah dan tidak sekali-kali bertindak keluar dari jemaah kecuali arahan yang dikeluarkan berbentuk maksiat atau menyeru kepada kekufuran. Justeru ia menyatakan kebenaran di mana sahaja ia berada tanpa menghiraukan celaan dan kejian melainkan hanya takut kepada Allah.
Jelasnya, kewajipan menyampaikan risalah dakwah Islamiah ke serata pelusuk rantauadalah satu tuntutan sebagaimana wajibnya beriltizam terhadap jemaah Islam di atas dasar wajibnya memberi peringatan kepada manusia.


3. SEBAB DAKWAH

Sebab ialah setiap sesuatu yang terhasil daripadanya kesan atau perubahan ataupun pergerakan. Dengan erti kata lain ia merupakan satu hal keadaan yang didahului dengan hajat atau keperluan iaitu samada peristiwa, perubahan atau pergerakan.Sebagaimana yang kita ketahui sesuatu keputusan yang berlaku dihukumkan dengan sebab dan diikat dengan logikal akal.
Asbab dakwah terbahagi kepada dua :
1. Terbit daripada akidah yang mantap dan nas agama.
2. Pemahaman yang sahih mengenai dakwah berdasarkan akidah.

1. Sebab yang pertama ( Terbit Daripada Akidah yang Mantap)

1.1 Tuntutan pengabdian manusia hanya kepada Allah.
Allah s.w.t menuntut manusia dan jin supaya meletakkan ubudiah hanya kepadanya tanpa ada unsure pensyirikannya. Allah s.w.t tidak meninggalkan tuntutan tersebut begitu sahaja tetapi Allah s.w.t mengutuskan kepada manusia para rasul untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berupa suruhan dan larangan untuk disampaikan kepada manusia.
Di antara tugas tersebut ialah menunjukkan akal manusia kepada mengenal Allah s.w.t samada zat, sifat dan nama, mengajar manusia perkara-perkara ghaib, menjelaskan perkara-perkara halal dan haram guna untuk kesempurnaan hidup, menjelaskan konsep ukhuwwah di dalam kehidupan dan mendidik diri serta akhlak yang baik.
Tugas tersebut dijelaskan dengan firman Allah Taala di dalam Surah Az Zariat ayat 56-57 :


1.2 Tuntutan bertaaruf / kenal mengenal.
Sesungguhnya Allah s.w.t menghendaki manusia agar bertaaruf di antara satu sama lain untuk melengkapkan konsep kemasyarakatan dalam bentuk yang lebih berfaedah dan bermakna, iaitu konsep faham memahami, tolong menolong, ziarah menziarahi yang akan membangkitkan suasana harmonis di dalam kelompok masyarakat.
Firman Allah Taala :

(Surah Al Hujrat : 13)

Nas tersebut menjelaskan :
1. Allah Taala telah menjadikan manusia daripada asal yang satu iaitu Adam ‘Alaihissalam dan Hawa.
2. Fitrah kejadian manusia adalah berhajatkan kepada persaudaraan iaitu memerlukan orang lain semenjak tarikh kemanusiaan yang awal iaitu Adam ‘Alaihissalam.
3. Taaruf merupakan maslahat kepada manusia dalam pola kehidupan masyarakat.

1.3 Tuntutan menjadi khalifah di muka bumi dan megimarahkannya.
Allah s.w.t telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru terbeban kepada mereka tanggungjawab dan kewajipan mengimarahkan bumi dan seisinya dengan melaksanakan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t yang berupa syariat dan perundangan Islam.
Firman Allah Taala :

(Surah An Nur : 55)

(Surah Hud : 61)

Nas di atas menerangkan :
‌أ. Allah s.w.t telah menjanjikan kepada orang mukmin untuk menjadikan mereka ‘khalifah’ di muka bumi sebagaimana sebelumnya Allah telah melantik orang-orang mukmin dan mereka yang beramal soleh.
‌ب. Allah s.w.t menegaskan akan menegakkan bagi mereka agama yang diredhoi olehnya.
‌ج. Tuntutan mengimarahkan muka bumi.

2. Sebab Yang Menuntut Kefahaman Mengenai Dakwah Dengan Pemahaman Yang Sahih Berdasarkan Akidah dan Agama.

Kefahaman yang sahih terhadap akidah dan agama adalah bertitik tolak atau terbit daripada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w, merangkumi skop yang menyeluruh daripada keduanya samada dari sudut ilmu, penafsiran dan penjelasan daripada keduanya.
Kefahaman yang jelas terhadap akidah dan agama ini berdiri di atas asas dan rukun yang melingkari individu muslim tersebut sejak zaman berzaman. Asas dan rukun tersebut adalah :

2.1 Sesungguhnya umat Islam keseluruhannya adalah umat yang satu dalam konteks akidah, ibadah, muamalah dan akhlak. Kesatuan yang terbina ini merentasi sempadan daerah dan tempat, warna kulit dan bangsa, budaya dan bahasa. Di atas faktor yang berlaku konsep dakwah perlu dimainkan kembali untuk mengikat kesatuan yang sedia ada.

2.2 Fenomena yang melingkari umat Islam dengan perspektif kehidupan yang berbeza dari aspek pemerintah, kemasyarakatan, keintelektualan, dan sosio ekonomi dalam konteks bernegara menyebabkan mereka terhalang untuk meletakkan syariat Islam sebagai perundangan yang tertinggi. Ini mengakibatkan berlakunya pelbagai masalah dan kezaliman lantaran mereka jauh daripada perundangan yang sebenar. Kesannya gejala kerosakan dan kebejadan semakin bertambah, begitu juga perpecahan dan kemunduran.

2.3 Sesungguhnya umat Islam dituntut untuk beramal mengikut kemampuan yang ada dengan berpandu arah oleh Al Quran dan Sunnah. Justeru itu ia menuntut untuk merubah suasana yang tidak baik yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat sekitarnya dengan uslub yang dibenarkan oleh Islam.

4. RUKUN DAKWAH

Sejajar dengan konsep dakwah iaitu seruan kepada agama Islam selaku penamat yang dibawa oleh junjungan besar Muhammad s.a.w, yang merupakan wahyu daripada Allah s.w.t. Ia selari dengan apa yang dijelaskan oleh Al Quran dan Sunnah Nabawiyyah dengan skop perbincangan yang luas yang merangkumi peristiwa-peristiwa yang terjadi kepada Rasulullah dan sirah perjalanannya yang panjang, maka rukun dakwah yang terbina adalah diasaskan di atas dasar agama Islam itu sendiri.
Rukun dan asas tersebut (secara teori dan praktikal) adalah :

‌أ. Aqidah
‌ب. Ibadah
‌ج. Akhlak

Ketiga-tiga asas di atas terikat dengan ikatan yang kukuh di antara satu sama lain
dimulai dengan asas aqidah yang sahih mencernakan ibadah yang sejahtera. Binaan ibadah yang sejahtera melahirkan peribadi yang luhur dalam konteks individu dan masyarakat. Amal soleh tercetus apabila ibadah yang dilakukan berdasarkan akidah yang murni.

4.1 Aqidah
Aqidah ialah perkara yang wajib dipercayai oleh setiap individu muslim dengan keyakinan yang thabat untuk didirikan di atasnya konsep ibadah, akhlak bagi setiap individu dan masyarakat. Ruang lingkup perbicaraan aqidah adalah :

1. Beriman kepada Allah.
2. Beriman kepada para Malaikat.
3. Beriman kepada para Rasul.
4. Beriman kepada Kitab.
5. Beriman kepada Hari Qiamat.
6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar.

4.2 Ibadah
Iaitu penerjemahan daripada aqidah yang murni, merealisasikan konsep aqidah dalam bentuk yang praktikal. Ibadah tersebut ialah yang di fardukan oleh Allah Taala kepada setiap individu muslim. Dasar-dasar ibadah adalah:
1. Dua kalimah syahadah (Syahadatain)
2. Mendirikan solat
3. Mengeluarkan zakat
4. Puasa di bulan Ramadan
5. Mununaian haji bagi sesiapa yang berupaya
6. Ibadah dalam pengertian yang luas

4.3 Akhlak
Iaitu perilaku yang murni dihiasi dengan norma-norma akhlak muslim yang mesti diimplimentasikan dalam kehidupan masyarakat individu muslim adalah seperti berikut:

1. Cabang iman
2. Amar ma’ruf dan Nahi mungkar
3. Al-Adlu Wal-Ihsan
4. Jihad fisabillah

Di dalam hal di atas (konsep akhlak) perkara-perkara di atas kadang-kadang menjadi fardhu di dalam keadaan tertentu, kadang-kadang pula menjadi sunat di dalam keadaan yang tertentu. Dalam keadaan yang lain pula ia terkadang menjadi amalan yang biasa dan pilihan. Namun begitu kesemuanya merupakan akhlak-akhlak Islam yang luhur.


5. MATLAMAT (TUJUAN ) DAKWAH

Hala tuju dakwah yang hendak dicapai secara umumnya adalah senada dan seirama dengan tujuan agama Islam diturunkan kepada Bani Basyar iaitu untuk mencapai kemaslahatan manusia dan menyingkirkan sebarang agen-agen perosak dan pembinasa yang boleh mencacatkan keharmonian kehidupan manusia samada di dunia dan akhirat. Imam Al Iz bin Abd Dissalam mengatakan :

“Sesunguhnya syariat itu adalah kemaslahatan baik mencegah dari kerosakan maupun mencapai kemaslahatan“

Tuju sasar dakwah secara umum terbahagi kepada dua:

1. Fardi
2. Jamai’e

Di antara matlamat dan rangka tuju dakwah yang hendak dicapai adalah seperti berikut :

5.1 Menunjuk manusia kepada pengabdian yang total kepada Allah s.w.t bertepatan dengan apa yang disyariatkan kepada mereka. Ini merupakan tugas asas dan asal kebangkitan para rasul di muka bumi ini. Namun begitu tugas tersebut berpindah kepada para duat selaku galang ganti kepada tugas yang ditinggalkan oleh para rasul seraya para du’at merupakan pewaris para nabi dan rasul.
Justeru itu, para du’at berperanan sebagai penerang, penafsir dan petunjuk jalan kepada manusia kepada persoalan dasar dan asas iaitu konsep tauhid dan menjelaskan konsep Islam sebagai satu cara hidup.
Firman Allah Ta’ala :


5.2 Menunjuk manusia agar berta’aruf (kenal mengenal) di antara satu sama lain. Ia merupakan satu perintah dari Allah Ta’ala untuk dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.
Para du’at diwajibkan menjelaskan perkara tersebut kepada manusia tidak boleh hidup berseorangan. Interaksi dan komukasi di antara manusia merupakan naluri yang ada di dalam jiwa manusia.

5.3 Mengubah suasana yang buruk dan iklam yang bejad di dalam realiti kehidupan manusia kepada iklam Islamiah bagi menjamin kemaslahatan kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat.
Para du’at diperlukan untuk mencernakan misi tersebut. Menjelaskan konsep Jahiliyyah kepada manusia agar mereka berupaya menanggapi perkara tersebut sehingga mereka dapat menyusun kehidupan dengan teratur.

5.4 Mendidik individu muslim dengan tarbiyyah Islamiah Syumuliah yang merangkumi tarbiah rohiah, jasadiah, fikriah dan ‘aqliah.

5.5 Membentuk Bait Muslimah dengan mendidik individu-individu tersebut bertepatan dengan Manhaj Islam dan system kekeluargaan yang berteraskan kepada roh Islami. Justeru itu institusi ini dapat melahirkan jil muslim yang bersifat taqwa, menjadi tunas baru demi terbentuknya masyarakat Islam yang diimpikan.

5.6 Membentuk Mujtamak Muslim yang merealisasikan norma-norma Islam dari segi dasar dan akhlak. Dengan erti kata lain, masyarakat yang mengimplimentasikan system dan peraturan mengikut neraca timbangan Islam yang mampu mengaplikasikan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar, al ‘adl wal ihsan di dalam kehidupan masyarakat.

5.7 Usaha untuk mewujudkan Negara Islam yang melaksanakan syariat Allah terhadap manusia. Negara Islam yang mengamalkan keadilan individu, menjaga maslahat umum, mengekang fasad dan melaksanakan amanah, menyebar agama Islam kepada seluruh manusia dan menyebarluaskan pendidikan Islam.

5.8 Usaha untuk membebaskan negara Islam keseluruhannya daripada cengkaman mana-mana musuh dalam realiti yang ada atau keadaan yang melingkunginya. Membebaskannya daripada mengikut arus atau perancangan oleh pemuka-pemuka arkitek barat.
Negara yang awal yang mesti dibebaskan ialah Palestin di mana ramai di kalangan manusia tertipu dalam tempoh yang panjang.

5.9 Usaha untuk mewujudkan kesatuan yang jitu di antara negara-negara Islam dalam konteks kesatuan fikrah dan ilmu, kesatuan matlamat dan hadaf, kesatuan ekonomi dan siasah di antara negara Islam.
Satu impian untuk meletakkan negara-negara Islam di bawah “Payungan Khilafah Islamiah” iaitu daulah Islamiah yang menjalankan syariat dan perundangan Islam.

5.10 Usaha untuk melebarluaskan Dakwah Islamiah seluruh alam maya, timur dan barat, di negara Islam dan bukan Islam sejajar dengan “Agama Basyariah”.


Syeikh Ahmad Yassin- orang lumpuh yang mampu menggegar dunia!



Manusia, Agama dan Dakwah

Andai dapat kita membayangkan di saat ini kita sedang berada di atas kapal yang serba kukuh dan canggih belayar di samudera luas. Kita mengagumi kehebatan kapal yang dinaiki dan yakin tidak ada yang dapat menggugatnya dari terus membelah lautan. Namun, pabila angin kencang dan badai datang menggugah dan merosakkan kapal, anak-anak kapal tempik bertempiaran mencari jalan menyelamatkan diri. Tinggallah diri kita keseorangan terus bergelut dengan maut di tengah lautan luas. Di waktu malam yang hening sunyi. Tiada harapan lagi untuk diselamatkan sesiapa pun.

Di saat genting inilah fitrah semula jadi dari hati nurani seorang manusia mula terbit dan menyerlah iaitu di saat memohon secara spontan dan meyakini bahawa adanya satu Zat yang Maha Agung dan Maha Berkuasa yang dapat menolongnya. Manusia mengharapkan diri diselamatkan-Nya. Inilah buktinya, manusia berhajat dan memerlukan tuhan. Fitrah manusia adalah ingin bertuhan. Kepada tuhanlah mereka memohon segala hajat dan keperluan samada yang zahir mahupun yang batin.

Sesiapa yang menghendaki yang sebaliknya, ia telah memilih membelakangi fitrah semula jadi tanpa mereka sedari. Bahkan telah wujud satu agama iaitu agama Ateis yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan percaya manusia tidak memerlukan agama. Bahkan manusia dan seluruh alam ini terjadi dengan sendirinya melalui proses-proses tertentu. Namun, pada masa yang sama mereka telah mewujudkan agama. Alangkah jengkelnya agama ciptaan akal manusia. Akal manusia yang terhad tidak dapat memikirkan tentang perkara-perkara yang di luar hadnya seperti perkara-perkara Sam’iyyat (yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia seperti dosa pahala, syurga neraka, mizan (timbangan) dan sebagainya). Oleh yang demikian, Allah telah mengutuskan para nabi dan rasul untuk menyampaikan perkhabaran, peringatan dan berita gembira daripada Allah swt.

Perkhabaran ini sebenarnya adalah nikmat Allah swt kepada hamba-hambanya. Supaya manusia mengetahui, memahami dan menghayati segala perintah dan larangan-Nya kerana Dia akan membalas segala perbuatan yang dilakukan manusia. Andainya Allah swt tidak member perkhabaran ini pasti manusia akan mempertikaikannya pada hari kiamat kelak. Nah, Allah swt telah menyatakan dengan jelas segala perintah dan larangan-Nya. Manusia itu sendiri yang akan menanggung akibat bagi segala perbuatannya di dunia dahulu samada baik mahupun sebaliknya.

ƒ

7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(az-Zalzalah:7-8)

Agama Islam adalah satu-satunya agama yang datang daripada Allah yang menjadi panduan dan pedoman sebenar hidup manusia. Dialah yang menciptakan manusia. Dan hanya Dialah yang maha mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk kepada makhluk ciptaannya. Hanya Dialah yang layak mencipta perlembagaan dan undang-undang yang perlu diikuti manusia untuk mencapai kesejahteraan dan keselamatan mereka di dunia dan akhirat. Maha Suci Allah.

Tujuan penciptaan manusia

Pernahkah kita terlintas ataupun terfikir apa tujuan, sebab, matlamat, tugas dan peranan sebenar kita wujud di atas dunia ini? Tidaklah Allah swt menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Hatta satu titik hitam yang ada di atas sekeping kertas pun turut mempunyai tujuan, sebab, matlamat, tugas dan peranannya. Bagaimanakah pula halnya dengan kita, manusia yang lengkap dengan tubuh badan, tenaga, akal fikiran tinggal di atas bumi yang mempunyai pelbagai kemudahan dan kelengkapan untuk kegunaan manusia ini? Apakah kita tidak punya tujuan diciptakan? Jelas tidak logik dan diterima oleh akal yang waras.

Jelaslah manusia mempunyai tujuan, matlamat, tugas dan peranan masing-masing di atas dunia ini. Namun, manusia masih keliru tentang tugas mereka di dunia ini. Mereka tercari-tercari dan keliru akan tujuan hidup mereka. Sehingga ada di antara mereka membunuh diri kerana beranggapan hidup mereka tiada tujuan dan memilih jalan membunuh diri bagi menyelesaikan segala masalah mereka di dunia. Malang. Mereka tidak mengetahui apa peranan mereka dan seterusnya apakah yang akan berlaku terhadap mereka selepas mereka meninggalkan dunia ini.

Namun, kita sebagai seorang Muslim, sangat bertuah kerana kita telah diterangkan dengan jelas oleh Allah swt akan tujuan, matlamat, tugas dan peranan kita di atas muka bumi ini iaitu beribadat kepada Allah swt.


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az-Zaariyat:56)


Skop ibadat yang difahami umat Islam kini terlalu khusus dan kecil, hanya menumpukan kepada solat, zakat, puasa, haji, membaca al-Quran sahaja. Sebenarnya, skop ibadat adalah sangat luas merangkumi segala bentuk perbuatan dan tingkah laku manusia. Oleh yang demikian, pemahaman sebenar bagi konsep ibadah perlulah dipelajari, difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap orang Muslim dengan penuh yakin untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah swt.

Yakinlah, setiap pekerjaan yang dilakukan semasa di dunia akan dihisab dan diberi balasan yang setimpal dengan apa yang telah diusahakan ketika di dunia dahulu. Firman Allah:


7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (az-Zalzalah: 7-8)

Persoalannya, apakah perancangan dan strategi yang perlu dilaksanakan bagi menyediakan diri kita untuk menghadapi hari Pengadilan di Padang Mahsyar kelak? Di dalam risalah kecil ini cuba membuka minda kita untuk sama-sama menyiapkan diri kita untuk berjihad di jalan Allah swt mengikut kemampuan individu Muslim. Di antaranya ialah dakwah (menyeru dan mengajak manusia kembali mengingati dan mengesakan Allah swt dan menjalankan syariat-Nya) dan menjalankan amar makruf dan nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) sebagaimana yang telah dilakukan oleh kesemua para nabi dan rasul, para sahabat dan para ulama’. Marilah kita sama-sama menyambung tugas dakwah ini sekaligus menegakkan syiar Islamiah dan mengikuti sunnah Rasulullah saw yang dikasihi. Semoga Allah menambahkan iman dan hidayah-Nya kepada hamba-hambanya yang ikhlas menegakkan syariat Islam.

Ingat, Syaitan sentiasa disisi kita untuk melalaikan dan menjauhkan diri kita dari melaksanakan perintah Allah!

Tinta bermula...

Segala puji bagi Allah swt serta memohon selawat dan salam ke atas rasulnya yang mulia dan ke atas sahabat-sahabatnya dan umatnya yang mempertahankan perjuangan agama yang benar.

Kini, kita sedang berada di akhir zaman. Suatu zaman yang sangat-sangat dikhuatiri oleh Rasulullah saw terhadap umatnya di mana berlaku fitnah memfitnah hingga menjadi kekeliruan awam, mana-mana yang berupa sunnah nabi dipandang hitam, dituduh songsang, gila, sesat. Manakala mereka yang cuba menghidupkan sunnah baginda Rasulullah saw terus dihina dan dikeji.

Sebaliknya mereka berasa gembira hidup dalam suasana yang berupa Yahudi, Nasrani dan Majusi dan berusaha pula menyesuaikan ajaran agama dengan zaman hingga terjadi agama mengikut zaman, bukan zaman mengikut agama, sedang pemikiran-pemikiran mereka disanjung dan diamalkan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Zaman ini adalah zaman banjir (bah) yang bukan sahaja banjirnya air malah berjuta-juta kali lebih dahsyat daripada itu iaitu banjir fitnah, banjir Iktikad (pegangan), pemikiran dan amalan (maksiat), derhaka kepada Allah dan Rasul. Jumlah penderhaka lebih ramai daripada jumlah yang taat!

Maka, satu persoalan penting yang patut ditanya pada diri kita, apakah yang kita lakukan? berdiam diri? berpeluk tubuh? Andainya itu yang dipilih, maka kita telah sama dengan pilihan kebanyakan manusia lain yang tidak sayangkan agamanya. Berfikirlah secara lateral wahai umat Islam.

Oleh yang demikian, amatlah penting kita bangkit menyeru (dakwah) umat Islam kembali kepada ajaran agama Allah yang sebenar dan mengikuti Sunnah Rasulullah saw. Bangun tegap berdiri menjalankan amar maaruf dan nahi mungkar. Perlu kita sedari, bahawa setiap ilmu, tenaga, harta, masa dan lain-lain nikmat Allah yang kita perolehi akan disoal pada hari kiamat tentang bagaimana kita menyalurkannya. Lantas, menyeru (dakwah) manusia ke jalan Allah membantu menyiapkan diri kita dengan semua jawapan bagi soalan-soalan tersebut dan sekaligus menyelamatkan kita daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang diimpi-impikan oleh semua manusia. Firman Allah swt:

10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?

11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.

(as-Shaaf: 10-12)


Dengan demikian melalui penulisan kecil ini, diharap dapat memberi serba sedikit kefahaman tentang dakwah dan menerapkan mahbub (kecintaan) terhadap agama yang kita sayangi ini sekaligus mendorong kita menjalankan usaha dakwah tanpa mengira masa dan tempat dengan penuh hangat dan ikhlas kerana Allah. Mudah-mudahan Allah akan memberi manfaat kepada kita bersama bila diamalkan. InsyaAllah.